arena

Tercorot di Kazan namun petanda positif

Oleh Aida Adilah Mat

BIARPUN menamatkan cabaran di kedudukan terakhir acara 3 meter papan anjal seirama, penerjun negara Wendy Ng tetap berpuas hati dengan apa yang dipamerkan bersama rakan gandingan, Nur Dhabitah Sabri di Kejohanan Terjun Siri Dunia di Kazan, Russia.

Apa tidaknya Wendy akui dia tidak mempunyai masa mencukupi untuk berlatih kerana kekangan masa berikutan kecederaan bahu dialaminya itu.

Namun Wendy tidak mengalah dan gembira dapat melakukan terjunan semula sehingga berjaya mara ke peringkat akhir pada penampilan pertama di peringkat antarabangsa sejak Sukan Asia Jakarta-Palembang. "Saya bangga dengan diri saya sebab dengan masa tidak cukup dan dengan keadaan bahu yang masih lagi dalam proses pemulihan, saya masih lagi boleh melakukan terjunan konsisten.

"Malah saya baru dua kali berlatih bersama Dhabitah untuk kejohanan ini. Kami rasa selesa bersama dan itu satu yang baik," kata pemenang pingat perak Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Wendy dan Dhabitah mengumpul mata keseluruhan 262.74 mata untuk berkedudukan tempat kelapan dalam acara dikuasai gandingan dari China Lin Shan-Chang Yani 302.01.

Anabelle Smith-Maddison dari Australia 283.98 mata kedua manakala Viktoriya Kesar-Anna Pysmenska, Ukraine 273.60 ketiga.

Mengulas mengenai perancangan seterusnya, Wendy pernah beraksi di temasya Olimpik Rio sebelum ini akan bergandingan sekali lagi bersama Dhabitah di Siri Dunia di London pada 17 hingga 19 Mei ini.

Mereka akan sekali lagi bergandingan dalam acara yang sama, 3m papan anjal.

Disiarkan pada: May 11, 2019 @ 10:05pm
d