arena

Every rampas pendahulu Byron Nelson

Oleh AFP

MATT Every cemerlang di lapangan Trinity Forest yang basah kerana hujan untuk mendahului satu pukulan selepas pusingan ketiga yang tertangguh pada kejohanan AT&T Byron Nelson dalam Jelajah PGA AS, awal pagi tadi.

Permulaan permainan di Dallas, Texas, ditangguhkan enam jam kerana hujan lebat yang bermula sejak malam hingga ke pagi.

Apabila dia akhirnya turun ke lapangan, Every dari AS membenam eagle pada lubang pertama par-lima, kemudian birdie empat lubang untuk mendahului satu pukulan selepas sembilan lubang dengan 18 bawah par.

Ketika cuaca gelap menangguhkan aksi dia berada satu pukulan di depan pemain Korea Selatan, Kang Sung Hoon yang menyamai rekod lapangan 61 pada hari kedua dan mendahului empat pukulan menjelang pusingan ketiga.

Sung Hoon satu bawah par bagi pusingan itu selepas birdie di lubang ketiga dan keenam dengan bogey pada lubang kelapan bagi 17 bawah par keseluruhan.

Tyler Duncan, yang memulakan hari terikat dengan Every empat pukulan di belakang, mencatat tiga bawah par dan 15 bawah par bagi kejohanan dengan sembilan lubang lagi perlu diselesaikan.

Mereka akan kembali melengkapkan pusingan pada pagi Ahad. Hanya 12 daripada 83 pemain menamatkan pusingan ketiga.

Every, pemenang dua kejuaraan dalam Jelajah PGA berkata, permainan pada sembilan lubang pertama terasa “seperti satu pusingan biasa.”

“Ia terlalu mudah, jadi saya tidak berasa gementar terhadap apa-apa,” katanya. “Saya hanya terus melakukan birdie. Satu rentak yang bagus.”

Disiarkan pada: May 12, 2019 @ 12:37pm
d