arena

Jaringan Igor pastikan NS benam TFC II

Oleh Mohd Amin Jalil

PENYERANG import baharu Negeri Sembilan, Igor Luiz muncul wira apabila jaringan tunggal perlawanan memastikan kemenangan ke atas Terengganu FC II (TFC II) 1-0, dalam saingan Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Tuan rumah yang tewas kepada TFC II di gelanggang lawan pada 27 April lalu, dilihat pantas mengatur gerak sebaik perlawanan dimulakan dalam usaha mendapatkan gol awal, bagaimanapun kegagalan jentera serangan memecah benteng lawan, menyukarkan usaha mendapatkan jaringan.

Peluang terbaik diperoleh pada minit ke-18, namun tendangan bebas Shunsuke Nakatake dari jarak kira-kira 25 meter, belum cukup untuk mengatasi penjaga gol TFC II, Mohd Shamirza Yusoff.

Berselang dua minit kemudian, Dzulfahmi Abdul Hadi pula dilihat gagal memanfaatkan peluang jaringan apabila bola hantaran lintang Abd Halim Zainal di hadapan pintu gol tidak disempurnakan dengan baik.

Begitupun, TFC II yang mahu meneruskan rentak kemenangan sesekali mendapat peluang terutama menerusi Akanni Sunday, tetapi beberapa percubaan ke arah pintu gol Negeri Sembilan gagal mengatasi penjaga gawang, Mohd Kaharuddin Abd Rahman.

Skuad Hobin Jang Hobin dilihat terus berusaha untuk mendapatkan gol dan usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila Igor pantas memanfaatkan bola muntah tangkapan Mohd Sharmiza, apabila meledak gol pertama Negeri Sembilan pada minit ke-30.

Jaringan itu ternyata membakar semangat anak buah Mat Zan Mat Aris yang terus melakukan asakan ke kubu lawan bagi mencari gol tambahan.

Bagaimanapun rentak separuh masa kedua sedikit berbeza apabila tidak banyak percubaan tepat dihasilkan pemain kedua-dua pasukan dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga ke wisel penamat.

Disiarkan pada: May 13, 2019 @ 12:19am
d