arena

Sung Hoon raih trofi sulung PGA AS

Oleh AFP

PEMAIN Korea Selatan, Kang Sung Hoon membenam tujuh birdie bagi empat bawah par 67 sekali gus merangkul kejuaraan sulungnya dalam Jelajah PGA AS, kemenangan dua pukulan ke atas Matt Every pada kejohanan Byron Nelson di Dallas, Texas, awal pagi tadi.

Sung Hoon menolak masuk birdie dari jarak 23 kaki pada lubang ke-15 untuk mendahului pada hari maraton yang menyaksikan pendahulu bermain 27 lubang susulan penangguhan enam jam kerana hujan, kelmarin.

Sung Hoon, yang menyamai rekod lapangan Trinity Forest dengan 10 bawah par 61 pada hari kedua, berakhir dengan 23 bawah par keseluruhan 261.

Every mendahului dengan satu pukulan selepas sembilan lubang pusingan ketiga apabila cuaca gelap menghalang permainan diteruskan, kelmarin.

“Saya terlalu gembira ketika ini,” kata Sung Hoon selepas meraih kejuaraan pertama jelajah dalam 159 percubaan.

“Semalam kami menamatkan aksi lewat,” katanya. “Saya tidak mempunyai banyak masa untuk tidur, hanya tidur kira-kira tiga jam.”

Every yang mengumpul 21 bawah par 263 berkongsi tangga kedua dengan rakan senegaranya Scott Piercy.

Piercy melengkapkan kejohanan itu tanpa bogey – yang pertama dalam Jelajah PGA AS sejak 2010 – dengan tujuh bawah par 64.

Disiarkan pada: May 13, 2019 @ 1:22pm
d