arena

Kemukakan calon yang layak : Bibi Ramjani

Oleh BERNAMA

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan meminta Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) menampilkan calon presiden baharu bagi memudahkan beliau melepaskan jawatan terbabit demi kepentingan bola sepak negeri.

Bibi Ramjani berkata ahli gabungan KAFA iaitu PBJ tidak perlu melakukan gerakan untuk menggulingkan beliau daripada terus memimpin persatuan itu.

"Tidak perlu gulingkan saya, saya minta PBJ bawa calon yang dirasai oleh mereka 'sempurna' saya sendiri yang akan keluar tidak perlu susah payah adakan undi tidak percaya dan sebagainya.

Saya bukan orang politik cuma rakyat Kelantan yang sukarelawan tampil menawarkan diri bagi membantu persatuan ini ketika menghadapi pelbagai masalah terutamanya hutang lapuk yang ditinggalkan oleh pengurusan lama," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini terdapat tujuh PBJ bersedia menggulingkan usahawan wanita itu menerusi usul undi tidak percaya bagi mendesak melepaskan jawatan berkenaan.

Bibi Ramjani berkata beliau sendiri telah bersedia untuk melepaskan jawatan dan memberikan peluang kepada individu lain yang dilihat mampu menggalas tanggungjawab dan bebanan terutamanya membabitkan kewangan.

"Saya sebenar sudah lama berhasrat untuk memberikan jawatan itu kepada orang yang mampu sebab bola sepak ini penuh dengan perjudian.

Rasanya saya tidak mampu mengatasi seorang diri walaupun wang ringgit telah dikeluarkan berjuta-juta," katanya.

Bibi Ramjani juga berkata mana ada individu yang sanggup mengeluarkan wang berjuta ringgit hanya untuk membantu pasukan dan persatuan sehingga membolehkan persatuan bersaing di Liga Malaysia (Liga-M).

"Setahu saya sekarang ini PBJ sendiri tidak mempunyai calon untuk diangkat menggantikan saya," katanya.

Disiarkan pada: May 13, 2019 @ 6:08pm
d