arena

Ayuh buktikan Soniia!

Oleh BERNAMA

PEMAIN perseorangan wanita negara, Soniia Cheah sudah cukup matang untuk memahami situasi perlu dilaluinya dalam usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann.

Beliau berkata pada beberapa kejohanan sebelum ini, Soniia tidak mempamerkan prestasi meyakinkan ketika bertemu lawan yang sama tahap kemampuannya, apatah lagi jika berdepan pemain lebih tinggi ranking berbandingnya.

“Dia (Soniia) dalam radar kita (ke Sukan Olimpik) dan dia perlu buktikan kemampuannya kerana kita melihat kepada prestasi sebenar bukan menilai prestasinya berdasarkan lawan (ranking) lebih tinggi atau rendah.

Kami sedang berusaha keras memastikan dia benar-benar bersedia, kami katakan padanya inilah masanya untuk melakukan yang terbaik, malah ini bukan untuk Soniia sahaja tetapi juga kepada semua pemain.

Saya katakan kepada mereka lakukannya sekarang, atau anda akan ketinggalan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bil 2/2019 sukan badminton hari ini.

Choong Hann berkata pemain di ranking ke-34 dunia itu memberikan kerjasama yang baik dan bekerja keras untuk mengatasi masalah dialaminya, namun peningkatan ditunjukkan masih belum mencapai tahap diharapkan.

“Dalam latihan di gelanggang bersama dengan (jurulatih) Datuk Tey Seu Bock, kami sudah ubahsuai programnya.. beberapa penekanan tertentu diberi tumpuan untuk menambah kecekapannya.

“Di luar gelanggang, berhubung kekuatan dan keadaannya, kami sedang melihat cara bagi memantapkan penampilannya, kerana kami memang memantaunya sejak kebelakangan ini dan hasil perbincangan dengan jurulatih,” katanya.

Disiarkan pada: May 13, 2019 @ 6:18pm
d