arena

Melaka belum temui pengganti Markovic

Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA masih belum menemui pemain import baharu menggantikan Darko Markovic menjelang aksi Liga Super berdepan FELDA United, di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Rabu ini.

Jurulatih MU, Zainal Abidin Hassan, berkata skuad itu masih meneliti import sesuai untuk mengisi kekosongan Markovic yang dilepaskan menyertai Kuala Lumpur pada sesi jendela perpindahan kedua Liga Malaysia ketika ini.

Menurutnya, sebelum ini tempat Liridon Krasniqi yang mengalami kecederaan sudah diganti dengan penyertaan Luka Milunovic dengan kelibat bintang Serbia terbabit sudah diturunkan pada perlawanan berdepan Selangor pada 4 Mei lalu.

"Bagaimanapun setakat ini, tiada import yang sesuai untuk didaftarkan setakat ini.

Justeru aksi berdepan The Fighters di gelanggang sendiri menyaksikan kami hanya menurunkan empat import sahaja.

"Selain Milunovic, skuad Hang Tuah kini memiliki penyerang dari Brazil, Anselmo Casagrande, Jang Suk-Won (Korea Selatan) dan Patrick Reichelt (Filipina).

Apapun saya amat yakin mereka tetap berusaha gigih untuk membantu kemenangan pasukan, biarpun kurang rakan import," katanya.

Sementara itu, Zainal turut menuntut aksi cemerlang pasukan seperti pada aksi babak kedua ketika mengikat The Red Giants 1-1 di Shah Alam.

Baginya, jika persembahan sama diterjemahkan pemain, tidak mustahil mata maksimum bakal diraih di gelanggang sendiri.

Legenda bola sepak negara itu berkata, kesungguhan pemain membentuk keserasian walaupun di bulan Ramadan juga dilihat amat memuaskan dan melegakannya dalam persiapan akhir berdepan pasukan pelawat.

Disiarkan pada: May 13, 2019 @ 7:01pm
d