arena

Usah ulangi kesilapan sama: Mohamad

Oleh Malik Muhamad

"USAH ulangi kesilapan sama, sebaliknya pemain perlu tampil dengan aksi lebih mantap," kata penolong jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohamad Nik.

Beliau berkata demikian bagi mengingatkan anak buahnya menjelang pertembungan dengan pendatang baharu Liga Super musim ini, Petaling Jaya City FC (PJ City) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Selain itu, bekas pemain kebangsaan itu juga menuntut pemainnya melupakan episod malang tewas 0-4 kepada Pahang Jumaat lalu dalam saingan suku akhir kedua Piala FA.

"Kekalahan kepada Pahang tempoh hari sudah pasti sukar diterima bukan saja pemain, malah kepada semua peminat, oleh itu saya gesa pemain perlu bangkit mencatat kemenangan dengan melupakan kekalahan itu.

"Selain itu, kami harap semua pemain mampu mengekalkan prestasi terbaiknya biarpun beraksi pada bulan puasa yang sudah tentu menyebabkan pemain cepat lesu dan kurang bertenaga," katanya.

Pada aksi pusingan pertama di laman lawan, skuad Penyu berjaya menundukkan PJ City 2-1 dan perlawanan malam esok pemain harus mencatat kemenangan bagi memperbaiki kedudukan dalam liga selepas menghuni di tangga ketujuh liga dengan mengutip 16 mata hasil 12 perlawanan.

Disiarkan pada: May 13, 2019 @ 10:02pm
d