arena

Pelayaran buru tiket ke Sukan Olimpik 2020

Oleh BERNAMA

MAJLIS Sukan Negara (MSN) menerusi Program Podium akan mengenal pasti beberapa lagi pelayar berpotensi untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara RS:X: windsurfer dan 470: two person dinghy.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, skuad pelayaran akan menyertai Kejohanan Pelayaran Dunia 2019 pada Ogos ini, dalam acara RS:X dan 470, yang juga merupakan saingan kelayakan ke Sukan Olimpik.

“Ada beberapa pelayar yang kita nampak berpotensi untuk layak ke Sukan Olimpik dalam acara windsurfing dan 470.

“Jadi, kita sedang fokus untuk mereka layak ke Sukan Olimpik,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bil 2/2019 untuk sukan pelayaran hari ini.

Untuk rekod, dua pelayar negara Khairulnizam Mohd Afendy Abdullah dan Nur Shazrin Mohd Latif sudah layak ke Tokyo, masing-masing dalam acara laser standard dan laser radial.

Kedua-dua pelayar negara itu layak ke Sukan Olimpik 2020, selepas masing-masing meraih pingat perak dan gangsa pada Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang.

Antara pelayar dilihat berpotensi dalam acara RS:X dan 470 adalah pemenang pingat gangsa di temasya sama, Nuraisyah Jamil dan Norashikin Mohamad Sayed (470 wanita) serta Nuur Abdul Rahman dan Illham Wahab (Mixed RS One).

Disiarkan pada: May 13, 2019 @ 11:29pm
d