arena

Inter hampiri slot Liga Juara-Juara

Oleh AFP

MATTEO Politano dan Ivan Perisic menjaringkan gol bagi membolehkan Inter Milan kembali merebut tangga ketiga Serie A awal pagi tadi hasil kemenangan 2-0 ke atas Chievo yang sudah pun tersingkir, untuk kembali ke kancah Liga Juara-Juara musim depan.

Politano membuka jaringan seawal minit ke-39 di San Siro manakala Perisic menambah gol kedua, empat minit sebelum tamat perlawanan, ketika Chievo beraksi dengan 10 pemain pada 15 minit terakhir selepas Nicola Rigoni dibuang padang susulan kad kuning kedua.

Inter kembali berada satu mata di depan Atalanta ketika kedua-dua pasukan semakin hampir untuk menyertai juara Juventus dan naib juara Napoli dalam kejohanan elit bola sepak Eropah berbaki dua perlawanan.

AC Milan dan Roma ketinggalan tiga mata dari tangga keempat manakala Torino di tangga ketujuh, lima mata di luar kelayakan Liga Juara-Juara.

Inter mungkin mengesahkan kedudukan mereka jika menang Ahad depan di Napoli atau di laman sendiri menentang Empoli pada hari terakhir musim ini, pada minggu berikutnya.

Kemenangan Inter menamatkan harapan Lazio ke Liga Juara-Juara dengan kedudukan kelab Rome itu di tangga kelapan menyukarkan mereka ke Liga Europa, yang mereka berpluang mendapatkannya dengan menjuarai final Coppa Italia awal pagi Khamis ini menentang Atalanta.

Disiarkan pada: May 14, 2019 @ 8:54am
d