arena

Sedia kembali cabar City

Oleh AFP

PERTAHANAN Liverpool Andy Robertson memberi amaran buat Manchester City bahawa skuad Juergen Klopp bertekad untuk kekal bersama sehinggalah mereka menjuarai Liga Perdana Inggeris.

City memintas Liverpool untuk menjulang gelaran itu pada hari terakhir musim ini dengan kemenangan 4-1 ke atas Brighton, menjadikan kemenangan Reds di tangga kedua ke atas Wolves bagaikan tidak bermakna.

Liverpool hanya ketinggalan satu mata di belakang City, namun meskipun terlepas peluang juara, moral dalam kalangan skuad Klopp kekal tinggi ketika mereka melangkah ke final Liga Juara-Juara menentang Tottenham pada 1 Jun depan.

Malah Robertson yang juga kapten Scotland juga yakin pemain utama Liverpool akan kekal di kelab itu buat beberapa tahun dan akan menjadi pasukan yang lebih kuat untuk kembali mencabar City pada masa depan.

“Kami adalah pasukan yang utuh, kelompok pemain muda, jadi harapnya kami akan kekal untuk beberapa tahun dan akan menjadi pasukan yang lebih baik dari aspek kematangan dan pengalaman tahun depan,” kata Robertson.

“Ia sebuah skuad yang menakjubkan dan saya suka menjadi sebahagian daripadanya. Saya pasti banyak yang saya pelajari musim ini dan kami perlu membawanya ke musim depan.

“Saya harap kita tidak kehilangan sesiapa. Kami adalah pasukan yang rapat dan tidak mahu kehilangan sesiapa. Kami akan melangkah ke musim depan sekuat mungkin.”

Dengan final kedua berturut-turut Liga Juara-Juara, pertahanan Virgil Van Dijk yakin ini adalah permulaan terhadap sesuatu yang istimewa di Anfield.

“Dengan tahap yang kami tunjukkan musim ini, konsisrensi secara keseluruhan, kami perlu mengukuhkannya, cuba lakukannya kembali musim depan,” kata Van Dijik.

Disiarkan pada: May 14, 2019 @ 9:26am
d