arena

Serena, Venus berentap lagi

Oleh AFP

SERENA Williams akan menentang kakaknya Venus pada pusingan kedua Terbuka Itali lebih daripada dua dekad selepas kali terakhir mereka bertembung di gelanggang tanah liat merah di Rome, sebaik kedua-duanya melepasi pusingan pertama awal pagi tadi.

Serena, 37, juara di Rome empat kali kembali selepas dua bulan akibat cedera mudah mengetepikan pemain kelayakan dari Sweden Rebecca Petersen 6-4, 6-2.

Namun Venus, 38, yang pernah sekali bergelar juara di Rome pada 1999 memerlukan lebih dari tiga jam untuk menewaskan pemain Belgium Elise Mertens 7-5, 3-6, 7-6 (7/4).

Serena tidak pernah beraksi selepas menang pertarungan hebat tiga set juga ke atas Rebecca pada pusingan kedua Terbuka Miami pada Mac sebelum menarik diri akibat kecederaan lutut.

Juara Grand Slam 23 kali itu yang kini menduduki ranking ke-11 juga menarik diri daripada Indian Wells pada Mac akibat kurang sihat.

Disaksikan suaminya Alexis Ohanian, Serena mencatat kemenangan menerusi mata perlawanan kedua ke atas lawannya di ranking 64 dunia, selepas 76 minit beraksi di gelanggang.

“Saya rasa bagus, saya tidak pasti bagaimana ia sepatutnya saya rasakan,” kata Serena.

“Sudah agak lama saya tidak bermain banyak perlawanan tahun ini, bukan kerana pilihan tetapi saya memaksa diri.

“Saya benar-benar terdesak untuk berada dalam jelajah dan bermain tetapi ia sentiasa tidak menjadi. Seronok dapat kembali bermain. Harap dapat teruskan.”

Disiarkan pada: May 14, 2019 @ 10:18am
d