arena

Melaka lepaskan Nurshamil

Oleh Nazri Abu Bakar

PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) dalam perbincangan akhir melepaskan penyerang muda kelahiran negeri itu menyertai Selangor United.

Pemain terbabit, Nurshamil Abd Ghani, 24 diberi ruang menyertai kelab Lembah Klang itu selepas dua pemain diberi pelepasan ke PDRM dan Pulau Pinang.

Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim, berkata pemain sayap, G Gopinathan (Gopi) menyarung jersi PDRM diikuti penyerang, Wan Shukri Wan Ahmad menyertai Pulau Pinang pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia.

Menurutnya, persetujuan semua pihak pada dasarnya sudah dicapai membabitkan pengurusan dan barisan jurulatih pasukan berkenaan.

"Keputusan akhir akan dimuktamad minggu ini. Kami yakin semuanya terjawab dalam tempoh terdekat selepas urusan dengan pasukan berkenaan diselesaikan.

"Melepaskan penyerang berbakat (Nurshamil) antara usaha memantapkan pasukan, selain kedudukan pemain sayap yang ramai memaksa kami melakukan perubahan," katanya.

Walaupun kehilangan pemain terbabit termasuk Gopi dan Wan Shukri, namun ia antara perancangan teliti diusahakan MUSA pada saingan pusingan kedua liga.

Sebelum ini, Nurshamil, bekas penjaring terbanyak Liga FAM 2015 dipinjamkan kepada Selangor pada musim 2017 dan kembali ke pangkuan pasukan Hang Tuah untuk menghadapi saingan musim 2018 dan 2019.

Sementara itu, Farhan mengharapakan skuad terbabit mampu meraih mata penuh ketika berdepan FELDA United di Stadium Hang Jebat, malam esok.

Katanya, percaturan terbaik jurulatih, Zainal Abdin Hassan bersama pembantunya, Nidzam Adzha Yusof dan Asri Ninggal diharap bakal merakamkan kemenangan di gelanggang sendiri walaupun skuad berkenaan kini memiliki hanya empat pemain import.

Disiarkan pada: May 14, 2019 @ 4:43pm
d