arena

'Minta tangguh bukan kerana takut'

Oleh Azlan Muhammad Zain

SRIKANDI negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir menaruh harapan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dapat menangguhkan sesi pemilihan bagi skuad negara yang baru.

Juara dunia itu mengakui tidak akan berada dalam keadaan terbaik sekiranya ia berlangsung dalam tempoh terdekat seperti diumumkan PESAKA susulan kecederaan yang dialaminya.

"Tiada istilah takut atau mengalah awal dalam diri saya namun sudah dinasihatkan untuk berehat selama empat minggu susulan kecederaan bahagian belakang semasa menyertai Terbuka Belgium tempoh hari.

"Saya pasti tidak dapat mempamerkan yang terbaik dan bimbang ia akan lebih teruk," jelasnya.

Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menegaskan mahu mengadakan sesi pemilihan yang membabitkan juara kebangsaan yang baru sebelum sambutan Aidilfitri.

Malah beliau menegaskan atlet yang mengalami kecederaan termasuk Siti Rahmah dan Mohd Al Jufferi Jamari turut tidak terkecuali sekiranya mahu kekal bersama skuad negara kerana mahu bersikap adil kepada semua pihak.

"Ia tindakan yang bagus kerana dilihat adil dalam melakukan pemilihan untuk bersama skuad negara namun saya berharap ia tidak diadakan dalam tempoh terdekat," tambah Siti Rahmah.

PESAKA kini dalam peringkat membentuk skuad yang baru dengan segera terutamanya menjelang Sukan SEA di Filipina apabila meletakkan sasaran meraih dua emas.

Disiarkan pada: May 14, 2019 @ 5:29pm
d