arena

Pogba dulu kemudian lain akan ikut - Evra

Oleh Agensi

PAUL Pogba akan menjadi salah seorang pemain terawal dijangka meninggalkan Manchester United pada musim panas ini.

Menurut bekas pemain Old Trafford, Patrice Evra sebab mereka meninggalkan kelab itu adalah kerana reaksi negatif daripada penyokong.

The Red Devils menamatkan saingan musim berada di tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas 2-0 di tempat sendiri kepada pasukan sudah tersingkir, Cardiff, kelmarin.

Pogba yang berharga £89j (RM481j) sering mendapat kritikan oleh penyokong yang sudah bosan dengan kelakuan serta permainan hambar dipamer.

Evra yang juga bekas pemain pertahanan United, menang lima gelaran EPL bersama United merasakan pemain tengah itu akan mengetuai penhijrahan beramai-ramai meninggalkan skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer yang akan menjalani proses rombakan.

Bekas pemain berusia 37 tahun itu berkata: “Saya tidak mahu menyalahkan semua pemain kerana ada pemain sekarang tidak tahu mengapa mereka berada di United.

“Saya rasa (Pogba) akan keluar dari Old Trafford kerana anda perlu rasa disayangi apabila beraksi di tempat sendiri dan perlu komited.

Dia juga merasakan pemain meraih pendapatan £500,000 (RM2.7j) seminggu, Alexis Sanchez juga akan meninggalkan kelab itu.

Evra turut mempertikaikan motif pemain Chile itu menyertai United pada Januari 2018 berbanding lawan sebandar, Man City.

Evra berkata: “Sesetengah pemain hanya datang untuk wang. Saya tidak takut untuk mengatakannya.

“Saya berkata bukan kerana tidak suka Sanchez tetapi apabila saya melihat rundingan United dengannya, saya sudah merasakan dia akan menjadi sejarah di Manchester United.

Disiarkan pada: May 14, 2019 @ 6:24pm
d