arena

Kalau kalah mesti sakit: Son

Oleh Reuters

PENYERANG Tottenham Hotspur dari Korea Selatan Son Heung-min berkata kekalahan final pertama Liga Juara-Juara pastinya menyakitkan untuk tempoh yang lama ketika dia bersiap sedia untuk memastikan perkara itu tidak akan berlaku ketika mereka berdepan Liverpool di Madrid bulan depan.

Son tidak mahu memberi spekulasi mengenai keputusan pada perlawanan 1 Jun itu dalam perlawanan menentang pasukan yang pernah menewaskan mereka dua kali sewaktu saingan Liga Perdana Inggeris musim ini tetapi berkata Spurs perlu bekerja keras untuk menewaskan pasukan yang baru saja terlepas gelaran domestik.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai kemenangan atau kekalahan. Masih banyak masa untuk persiapan perlawanan penting,” katanya.

“Menjuarai Liga Juara-Juara sesuatu yang sungguh bermakna, namun kekalahan pastinya akan menyakitkan untuk tempoh yang sangat-sangat panjang.

“Kami hanya mahu bersiap sedia dan kemudian lihat apa akan berlaku. Liverpool adalah pasukan yang kuat, jadi bagaimana kami bermain adalah amat penting,” katanya.

Son, 26, yakin bahawa rehat selama tiga minggu akan membolehkannya kembali dengan apa yang dikatakan sebagai ‘mode api’ menentang kelab Merseyside di gelanggang Atletico Madrid, Stadium Wanda Metropolitano.

“Saya fikir semua orang perlukan masa untuk berehat,” kata Son.

“Kami cuba kembali secergas mungkin bagi memastikan kami memberikan segala-galanya dalam perlawanan ini.

“Saya benar-benar seorang yang positif dan beraksi di final Liga Juara-Juara sesuatu yang menyeronokkan, jadi saya hanya mahu pastikan saya benar-benar bersedia untuk setiap bola dan setiap saat.”

Disiarkan pada: May 15, 2019 @ 12:20pm
d