arena

Abramovich masih sayangkan Chelsea: Luiz

Oleh Reuters

PEMILIK Chelsea, Roman Abramovich masih berminat terhadap kelab Liga Perdana dan cuba sebaik mungkin terbabit setiap hari walaupun sudah lama tidak berada di Stamford Bridge, kata pemain pertahanan David Luiz.

Jutawan Russia itu berdepan masalah memperbaharui visa British miliknya tahun lalu disebabkan ketegangan antara kedua-dua negara dan dia tidak melihat perlawanan Chelsea musim ini.

Media British melaporkan bahawa Abramovich sudah letih dan tampak akan menjual kelab berkenaan namun Luiz berkata, pemilik berusia 52 tahun itu masih ada kemahuan mencipta kejayaan ketika bercakap dengannya selepas memperbaharui kontrak bersama Chelsea minggu lalu.

“Saya ada peluang bercakap dengannya minggu lalu untuk membuat keputusan mengenai masa depan saya,” kata Luiz kepada The Daily Mail.

“Dia sayangkan kelab ini dan semua yang berada di kelab, bukan hanya orang di sini. Dia mahu menang semuanya, dia mahu lebih lagi.

“Ia sesuatu yang sukar buatnya, dia berada di luar sana tetapi hatinya di sini. Dia cuba terbabit setiap hari. Dia masih sangat berminat dengan kelab ini. Dia masih ada kemahuan yang sama, memikirkan mengenai kemenangan. Dia tidak mahu hilang tenaga.

“Dialah yang membina Chelsea – semuanya berubah di Chelsea kerana dia. Kejayaan sudah terbukti, 15 trofi dalam 15 tahun.”

Chelsea menamatkan kempen Liga Perdana di tempat ketiga di bawah bimbingan Maurizio Sarri untuk kembali bersaing dalam Liga Juara-Juara dan Luiz berkata pencapaian kelab London berkenaan melebihi jangkaan pra-musim tatkala mengintai peluang menamatkan kempen dengan trofi Liga Europa apabila berdepan Arsenal di Baku pada 29 Mei ini.

Disiarkan pada: May 15, 2019 @ 6:32pm
d