arena

Melaka United kenduri gol di laman sendiri

Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA United (MU) tampil aksi garang selepas berpesta gol membenam FELDA United 6-0 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Melaka, malam tadi.

Turun dengan misi meraih mata maksimum tuan rumah tidak menunggu lama untuk mencipta jaringan pendahuluan selepas Patrick Reichelt merembat masuk gol pertama seawal minit ke-4.

Jaringan membakar semangat buat skuad Hang Tuah itu mengatur gerak menambah jaringan apabila Deevan Raj yang masuk menggantikan Anselmo Casagrande berjaya melakukan hantaran kepada Safiq Rahim membolehkan bekas kapten kebangsaan terbabit merembat kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-25 untuk menghadiah jaringan kedua MU.

Seperti malam serba tidak menjadi buat pelawat selepas benteng mereka terus dirobek lawan buat kali ketiga menerusi tolakan Nazrin Nawi pada minit ke- 35 susulan hantaran Luka Milunovic.

Milunovic yang kembali menyertai MU selepas dipinjamkan ke Sabah turut menguis cantik gol keempat tuan rumah pada minit ke-36 menerusi gerakan solonya menewaskan penjaga gol Norazlan Razali.

Babak kedua Milunovic menambah jaringan kelima skuadnya pada minit ke-53 selepas menolak bola muntah Norazlan hasil sepakan Saiful Selamat dan kenduri gol diledak hatrik Milunovic pada m-89 aksi.

The Fighters bagaimanapun tetap gigih berusaha memburu jaringan saguhati namun beberapa percubaan mereka menerusi Joconei Scad (m-80) dan Azim Rahim (m-83 dan 86) tidak behasil.

Kemenangan terbesar skuad bimbingan jurulatih Zainal Abidin terbabit nyata amat melegakan berikutan hanya beraksi dengan empat import tambahan Casagrande terpaksa dikeluarkan pada minit ke-25 akibat kecederaan.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 12:04am
d