arena

Chong Wei inspirasi Soon Huat

Oleh Saiful Affendy Sapran

GOH Soon Huat mengakui akan cuba mencontohi jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei selepas dilantik selaku kapten skuad Piala Sudirman di Nanning, China bermula Ahad ini.

Pemain beregu campuran negara itu yang ditemui sebelum berlepas ke Nanning berkata, pengalaman di bawah pimpinan Chong Wei sebagai kapten dalam acara berpasukan diharap dapat membantunya untuk mengetuai pasukan pada edisi kali ini.

“Sebelum ini saya memang pernah beraksi dalam beberapa acara berpasukan dengan Chong Wei sebagai kapten.

“Memang saya banyak belajar daripadanya. Sebenarnya saya sendiri tak menjangkakan akan dilantik sebagai kapten.

“Tapi tanggungjawab ini sudah diberikan kepada saya. Jadi saya perlu menggalasnya dengan baik,” katanya.

Soon Huat berkata, selepas menjalani latihan intensif, kini dan rakan sepasukan sudah bersedia untuk beraksi di Nanning.

“Saya yakin semangat sepasukan antara setiap pemain kini semakin tinggi. Kami tidak mahu terlalu meletakkan tekanan ke atas diri sendiri.

“Tapi kami pasti akan cuba beraksi sebaik mungkin dalam setiap perlawanan,” katanya.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kelmarin menamakan Soon Huat selaku kapten manakala pemain beregu wanita, Chow Mei Kuan sebagai pembantunya.

Malaysia membuka tirai kempen Kumpulan 1D menentang tuan rumah China, Ahad ini sebelum berdepan India dua hari kemudian.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 1:27pm
d