arena

The Speedy Jantan kembali

Oleh Aida Adilah Mat

RAJA pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan sudah bersedia kembali membakar trek selepas disahkan cergas sepenuhnya.

Pelari dikenali jolokan The Speedy Jantan menjadi taruhan terbaik skuad olahraga negara mempertahankan emas yang dimenangi dalam acara riben biru di temasya dwi tahunan di Filipina, hujung tahun ini.

Khairul berkata, dia sudah bersedia sepenuhnya termasuk menjalani latihan di luar negara dalam usaha mencabar emas di Sukan SEA nanti.

"Saya kini sedia kembali beraksi. Tiada apa lagi yang perlu dirisaukan.

"Program diaturkan oleh ISN (Institut Sukan Negara) juga berjalan lancar. Berat badan saya bertambah menjadi 62 kg sekarang," katanya.

Tegas pelari memegang rekod kebangsaan dalam acara 100 meter berkata, dia akan mengikut perancangan jurulatih, Mohd Poad Md Kassim berhubung latihan seterusnya termasuk perancangan ke luar negara.

Di tanya lokasi pilihan sekiranya mendapat kelulusan daripada Majlis Sukan Negara (MSN), Khairul berkata, tiada tempat spesifik dan hanya mengharapkan tempat terbaik.

Sebelum ini, Khairul Hafiz yang mencatat 10.38s di KL2017 dilihat bergelut mempertahankan kejuaraan acara berkenaan di Sukan SEA Filipina dengan kehadiran juara remaja dunia dari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri.

Raja Pecut Asia Tenggara itu mengalami kecederaan lutut dan betis kanan sebelum menyertai Kejohanan Olahraga Perak All-Comers di Stadium Perak, Februari lalu.

Khairul dijangka kembali beraksi pada Julai di Sukan Universiti Dunia di Itali.

Sebagai rekod, Khairul Hafiz adalah pemegang rekod kebangsaan acara 100m lelaki dengan kepantasan 10.18s yang dicipta di SUKMA Sarawak pada 2016 manakala Lalu melakar catatan sama ketika menjuarai Kejohanan Remaja Dunia di Finland tahun lalu.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 3:46pm
d