arena

Norza tanding jawatan Presiden BAC

Oleh BERNAMA

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan Presiden Konfederasi Badminton Asia (BAC) bagi penggal 2019-2023 pada pemilihan yang bakal diadakan di Nanning, China pada 25 Mei ini.

Beliau memaklumkan keputusan bertanding jawatan nombor satu badan induk badminton Asia itu dibuat selepas menilai beberapa faktor, termasuk sokongan padu daripada beberapa kuasa badminton Asia selain kedudukan ibu pejabat BAC yang terletak di Kuala Lumpur.

Mohamad Norza memaklumkan ramai bekas Presiden BAM yang pernah mengetuai BAC termasuk Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Allahyarham Tan Sri Elyas Omar dan Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh.

"Walaupun saya pergi sebagai 'underdog', kerana perlu berhadapan penyandang jawatan (Anton Aditya Subowo), saya yakin masa ada lagi untuk saya memperkenalkan diri, dan memberitahu 43 anggota BAC kenapa saya mencalonkan diri untuk bertanding jawatan Presiden,” katanya yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Majlis Berbuka Puasa MOM bersama media, di Petaling Jaya, semalam.

Mohamad Norza menegaskan sekiranya terpilih, beliau bertekad untuk mengekalkan penguasaan benua Asia selaku kuasa badminton dunia, selain membantu negara dunia ketiga yang berhasrat mempromosikan sukan badminton di negara mereka ke tahap lebih tinggi.

Dalam pada itu, beliau memberi bayangan untuk melepaskan jawatan Presiden BAM yang disandangnya sejak 2017 selepas berakhirnya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya lihat hari ini kita sudah ada barisan pemain muda yang mantap, selain Akademi Badminton Kebangsaan pun sudah siap.

"Saya rasa mungkin setahun atau dua lagi adalah proses untuk memberikan kepimpinan itu kepada orang lain dan saya akan terus fokus kepada presiden MOM,” katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 4:54pm
d