arena

Tambadau enggan pulang tangan kosong

Oleh Ryan Stanley

SABAH bertekad untuk mencuri mata daripada dua aksi di gelanggang lawan bermula pada aksi bertemu UKM FC di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur, malam esok.

Pengendalinya, Jelius Ating, berkata, mereka tidak mahu pulang tangan kosong dan mahu mengelak tewas bagi memastikan kedudukan di kelompok atas Liga Perdana tidak terjejas.

"Tidak kisah sama ada kita mencatat kemenangan atau seri, kerana yang penting bagi saya adalah mengutip mata kerana kita tahu aksi di tempat lawan bukanlah mudah.

"Bagaimanapun, saya berharap pemain akan memberi aksi terbaik dan memenangi pelawanan bagi mengukuhkan kedudukan dalam liga," katanya di Kota Kinabalu, hari ini.

Jelius berkata, kehadiran dua pemain import baharu iaitu bekas penyerang kebangsaan Angola, Aguinaldo Mendes Veiga dan pemain tengah dari Turkmenistan, Ahmet Atayev, diharapkan memberi impak.

"Saya gembira kerana proses membolehkan mereka bermain berjalan lancar dan berharap penampilan pertama dua pemain itu akan menampakkan hasil, esok.

"Mereka mungkin belum cergas sepenuhnya kerana baru menyertai pasukan namun apa yang saya lihat dalam sesi latihan, persembahan mereka agak baik dan saya harap ia diterjemahkan dalam aksi pertama mereka," katanya.

Sementara itu, bekas pemain berusia 48 tahun itu, berkata, beliau akan membuat sedikit perubahan terhadap kesebelasan utamanya untuk aksi malam esok berikutan kehadiran Mendes dan Atayev serta ketiadaan Randy Baruh yang terpaksa menjalani penggantungan perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning.

"Kita akan mengekalkan Rozaimie (Rohim) sebagai penjaga gol dengan dibantu empat pertahanan iaitu Rawilson (Batuil), Park (Taesu), Evan Wensley Wenceslaus serta Dendy Lowa yang menggantikan tempat Randy.

"Azzizan (Nordin) pula akan bergandingan dengan Atayev di bahagian tengah dengan dibantu pemain sayap kiri dan kanan iaitu Alto (Linus) serta Jenius (Karib) manakala (Rodoljub) Paunovic dan Mendes bertindak sebagai penyerang," katanya.

Skuad Tambadau kini di kedudukan ketiga liga dengan 21 mata, empat mata di belakang pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim II (JDTII) yang kini mengumpul 25 mata serta dua mata di belakang UiTM FC (23 mata).

Selepas aksi dengan UKM FC esok, Sabah sekali lagi beraksi di gelanggang lawan bertemu Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, pada 25 Mei ini.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 5:47pm
d