arena

Porto 'simpan' Casillas

Oleh AFP

PORTO FC dijangka memberi tugas sebagai staf kelab kepada Iker Casillas selepas penjaga gol veteran Sepanyol itu mengalami serangan jantung ketika menjalani latihan.

"Casillas masih mempunyai baki kontrak setahun bersama kelab dan kami mahu dia kekal sebagai sebahagian pembangunan Porto bukan hanya terbatas kepada satu tahun sahaja,” kata presiden kelab Jorge Nuno Pinto da Costa.

“Casillas adalah sebahagian daripada kami dan dia pastinya sentiasa mempunyai tempat dalam Porto.”

Bekas bintang Real Madrid dan Sepanyol, yang akan menyambut hari lahir ke-38 pada Isnin, dibawa ke hospital dan menjalani pembedahan kecil pada 1 Mei selepas rebah secara tiba-tiba ketika latihan.

Casillas dibenarkan keluar selepas lima hari berada di hospital dan dia bernasib baik kerana masih boleh bernafas namun dia tidak mempunyai apa-apa perancangan mengenai masa depannya selepas kejadian itu.

“Apa yang sangat penting anda berada di sini... saya tidak tahu bagaimana nasib saya pada masa depan,” katanya.

Casillas mempunyai 167 kap bersama Sepanyol, menang Piala Dunia 2010 dan dua Kejohanan Euro selain beraksi lebih daripada 700 perlawanan untuk Real Madrid.

Dia menyertai Porto pada 2015 dan baru sahaja melanjutkan kontrak sehingga 2020 dengan pilihan tambahan 12 bulan.

Porto memaklumkan mahu menggunakan khidmatnya sehingga dia berusia 40 tahun.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 8:34pm
d