arena

Skuad dodgeball Malaysia sasar Piala Dunia

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

BUKAN saja digeruni, malah video latihan mereka turut diteliti pasukan dunia. Itu kehebatan Skuad dodgeball Malaysia yang menyasarkan layak ke Piala Dunia 2020.

Berdasarkan ranking terkini dikeluarkan Persatuan Dodgeball Dunia, pasukan lelaki dan campuran negara menduduki tempat kedua manakala wanita, keempat dunia.

Skuad lelaki negara mengumpul 670 mata di belakang pendahulu, England (675) dan mengatasi Ireland Utara (572), Australia (566) dan Austria (544).

Bagi pasukan wanita, Australia di tempat pertama dengan 678 mata, diikuti England (663), Austria (657) dan Malaysia (510).

Sementara, skuad campuran mengumpul 633 mata di belakang England (720) dan mengatasi Australia (631), Austria (571) dan Amerika Syarikat (467). Pengurus Pasukan Persekutuan Dodgeball Malaysia (MDF), Nozieka Faisal berkata, berdasarkan latihan rapi dilakukan skuad negara kini, beliau yakin sasaran mengekalkan tiga pingat emas di Kejohanan Dodgeball Asia, di Hong Kong pada Oktober depan mampu direalisasikan.

Katanya, apa yang penting setiap pemain fokus kepada latihan bagi menghadapi kejohanan itu yang juga kelayakan bagi Piala Dunia tahun depan dan disertai 16 negara.

"Saya yakin kita boleh. Malaysia satu pasukan digeruni di dunia walaupun baru tiga ke empat tahun aktif sukan ini. Malah, video latihan kita juga dikongsikan kebanyakan negara untuk kaji teknik permainan kita.

"Tahun lalu ketika Kejohanan Asia Pacific di Malaysia membabitkan 10 negara, kita muncul juara dan mewakili ASEAN ke Piala Dunia di New York.

"Di New York, pasukan lelaki menduduki tempat kedua dan kita di ranking pertama. Tapi beberapa bulan lalu, England mengadakan perlawanan kelayakan dan menang sekali gus naik ke ranking pertama. Hanya beza lima markah dan jika menang di Hong Kong kita ranking pertama," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dodgeball adalah permainan yang mana pemain kedua-dua pasukan cuba membaling bola ke atas satu sama lain, sambil mengelak daripada terkena bola berkenaan, seperti juga permainan bola beracun.

Nozieka yang Timbalan Presiden MDF berkata, Malaysia akan menghantar empat pasukan iaitu lelaki, wanita, campuran dan kategori baru bawah 21 tahun.

"Setiap pasukan ada 12 pemain dan ketika ini mereka berlatih secara intensif di Padang Panasonic, Shah Alam dua kali seminggu. Selepas Aidilfitri, latihan akan ditingkatkan tiga kali seminggu," katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 10:11pm
d