arena

Doucoure intai catat sejarah

Oleh AFP

PEMAIN Watford, Abdoulaye Doucoure menjadi pemain buruan selepas musim kedua yang cemerlang dalam Liga Perdana Inggeris, namun dia mahu melakar sejarah buat Hornets jika final Piala FA menentang Manchester City malam esok aksi terakhirnya bersama kelab itu.

Pemain Perancis itu menganggap ia perlawanan terbesar dalam kariernya di Wembley, yang mana Watford boleh memenangi trofi utama sulung mereka.

Berbakat besar, dia menyinar di samping Paul Pogba pada peringkat remaja buat Perancis namun dua kecederaan lutut yang teruk mengehadkan perkembangan, memaksanya terlepas aksi Piala Dunia B-20 pada 2013 yang dimenangi Les Bleus.

“Apabila anda mengalami keperitan dalam karier, anda mahukan sesuatu yang bagus dan final adalah sesuatu yang amat bagus,” kata Doucoure di padang latihan Watford.

“Bagi semua pemain dalam skuad kami mengharungi pengalaman berbeza, kecederaan berbeza. Final ini adalah ganjaran yang kami dapat, jadi ia masa untuk mencipta sejarah.”

Doucoure menjadi pemain Watford sejak Februari 2016 selepas berpindah dari Rennes dengan harga dilaporkan £8 juta (RM42.6 juta).

Bagaimanapun, dia dipinjamkan ke kelab La Liga Sepanyol, Granada, ketika itu turut dimiliki pemilik Watford, keluarga Pozzo.

“Orang ramai hanya melihat pemain di padang dan bagaimana mereka bersaing,” kata Doucoure. “Di luar padang ada banyak perkara lain, seperti apabila saya hadir mereka memberitahu saya perlu ke Granada jadi ia sukar untuk diterima pada awalnya.

“Saya menerimanya kerana bermain di Sepanyol, saya bermain menentang pasukan terbesar di dunia Real Madrid, Barcelona. Pengalaman yang agak bagus buat saya dan apabila saya kembali ke sini saya lebih kuat, sedia merebut tempat.”

Malah sekembalinya, khidmat Doucoure tidak begitu diperlukan di bawah kendalian Walter Mazzarri dan hampir dipinjamkan ke Lorient namun mujur dokumen perjanjian itu terlewat 33 saat daripada tarikh akhir perpindahan.

Sebaliknya dia kekal ketika Mazzarri dipecat dan persembahannya dalam dua musim terakhir, menjaringkan 12 gol dan 10 hantaran gol dari tengah, mencetus spekulasi yang mengaitkan pemain berusia 26 tahun itu dengan perpindahan bernilai £50 juta (RM267 juta) ke Arsenal, Chelsea atau Paris Saint-Germain pada musim panas ini.

“Sudah tentu Paris satu daripada pasukan terbaik di Eropah tapi saya tak pernah terlintas untuk pergi ke Paris,” kata Doucoure.

“Perkara utama saya mahu kekal di Liga Perdana. Saya fikir ia liga terbaik buat saya dari segi kualiti jadi sasaran utama saya adalah untuk kekal di sini.”

Disiarkan pada: May 17, 2019 @ 10:57am
d