arena

Koepka kuasai hari pertama PGA

Oleh AFP

JUARA bertahan Brooks Koepka, yang memburu kejayaan keempat dalam lapan kejohanan utama disertainya, bermula dengan menyamai rekod untuk mendahului Kejuaraan PGA ke-101 awal pagi tadi ketika Tiger Woods yang tidak konsisten bergelut di Bethpage Black.

Koepka mencatat tujuh bawah par 63, catatan tunggal tanpa bogey pada pusingan pertama, untuk mendahului satu pukulan di depan pemain New Zealand, Danny Lee selepas 18 lubang ketika Woods, beraksi kejohanan pertamanya sejak menamatkan kemarau 11 tahun kejuaraan utama pada Masters AS bulan lalu, hanya merakam 72 dan berkongsi tangga ke-51.

Koepka, yang menduduki ranking ketiga dunia, menamatkan aksi dengan tolakan birdie dari jarak 33 kaki untuk mencipta rekod lapangan dan menyamai catatan sepusingan terbaik dalam sejarah kejohanan itu.

“Ia mungkin satu daripada pusingan terbaik pernah saya lakukan sebagai pemain profesional,” kata Koepka, yang menjadi pemain profesional pada 2012.

Ia catatan 63 kedua dalam masa dua tahun pada Kejuaraan PGA buat pemain Amerika Syarikat berusia 29 tahun itu, yang menyertai pemain Australia, Greg Norman dan Vijay Singh dari Fiji sebagai pemain yang merakam dua catatan terendah dua kali pada kejohanan utama.

“Putter saya memang terbaik hari ini. Sudah lama berasa tidak sebagus ini,” kata Koepka. “Ia hari yang luar biasa, tujuh bawah par, ia tidak akan berlaku setiap hari.”

Lee menamatkan aksi dengan birdie berturut-turut untuk mencatat 64, menambah jarak pukulan dengan driver menjadi kunci catatan terendahnya pada 2019 dan dalam 10 kejohanan utama disertai.

“Jelas saya memukul lebih jauh,” katanya. “Ia satu bonus besar buat saya. Saya seronok dengan apa yang boleh dilakukan minggu ini.”

Tommy Fleetwood, yang cuba muncul pemain Inggeris pertama menang PGA sejak Jim Barnes pada 1919, merakam 67 untuk berada di tangga ketiga, satu pukulan di depan pemain Perancis, Mike Lorenzo-Vera, pemain Korea Selatan, Kang Sung Hoon dan pemain AS, Chez Reavie, Luke List serta Pat Perez.

Kedua-dua Koepka dan rakan sepermainannya Woods bersetuju pusingannya patut lebih bagus, mungkin di bawah rekod 62 dicatat pemain Afrika Selatan, Branden Grace pada Terbuka British 2017.

“Saya par kedua-dua lubang par-5 dan terlepas dua tolakan dari jarak lapan kaki untuk birdie,” kata Koepka. “Ia mungkin patut lebih bagus lagi.”

“Dia bermain dengan amat bagus,” kata Woods.

“Ia mungkin catatan terbaik boleh dilakukannya di luar sana. Dia terlepas beberapa peluang. Dia mungkin boleh catat lebih bagus lagi. Saya pula beraksi tidak seperti yang diharapkan, sudah tentu.”

Disiarkan pada: May 17, 2019 @ 11:37am
d