arena

Federer mara jumpa Tsitsipas

Oleh AFP

ROGER Federer menyelamatkan dua mata akhir menentang Borna Coric sebelum mara ke suku akhir Terbuka Itali ketika juara bertahan, Rafael Nadal dan pilihan utama Novak Djokovic mara dengan mudah, awal pagi tadi.

Namun pemain Australia, Nick Kyrgios disingkirkan selepas buat hal dengan membaling kerusi di gelanggang pada pusingan ketiga berdepan pemain Norway, Casper Ruud yang boleh menyebabkan dia digantung bagi tempoh yang lama.

Federer menang 2-6, 6-4, 7-6 (9/7) ke atas pilihan ke-13, Coric selepas mengetepikan pemain Portugal, Joao Sousa 6-4, 6-3 pada pusingan kedua ketika dia meningkatkan permainan selepas hujan menggangu permainan kelmarin.

Federer, beraksi empat kali pada final di Rome, ketinggalan 0-4 sebelum bangkit pada permainan kedua dan menyelamatkan dua mata akhir pada tie-break ketiga.

“Jelas saya seperti mendapat sedikit tuah,” kata Federer.

“Borna mendahului. Ada saat penting sepanjang permainan, set kedua dan ketiga, untuk saya meneruskannya. Nampaknya ia memihak kepada saya malam ini.”

Federer akan menentang pemain Greece, Stefanos Tsitsipas, yang menewaskan juara Masters Monte Carlo, Fabio Fognini 6-4, 6-3.

Tsitsipas mengejutkan Federer pada pusingan keempat Terbuka Australia, Januari lalu.

Disiarkan pada: May 17, 2019 @ 12:29pm
d