arena

Lee Tuck mahu balas jasa Irfan

Oleh Malik Muhamad

KAPTEN Terengganu FC (TFC), Lee Tuck mengakui sedih dan terkejut dengan peletakan jawatan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.

Ia berlaku ketika pemain memerlukan 'magisnya' bagi mengubat duka kemerosotan prestasi pasukan.

Malah, pemain berdarah kacukan England-Malaysia itu berpendapat tindakan drastik jurulatih berpengalaman itu meletak jawatan bukan langkah terbaik apatah lagi pasukan kini dipalit insiden kekalahan memalukan.

Bagaimanapun arkitek Terengganu itu akur dengan keputusan gurunya itu.

Biarpun hakikatnya dia bersama rakan sepasukan pahit menerima kenyataan itu namun berharap pemangku, Nafuzi Zain mampu melakukan kebangkitan.

"Sejujurnya saya begitu sedih dan sangat terkejut selain tidak menyangka peletakan jawatan bos saya itu

Beliau baik dan saya sangat hormat kepadanya sebagai seorang jurulatih berkaliber.

"Sepanjang hampir dua tahun mendapat tunjuk ajarnya, beliau berjaya melaksanakan tugas dengan berkesan dan menakjubkan ketika membimbing TFC sehingga kami layak ke final Piala Malaysia musim lalu, saya begitu beruntung.

"Bagi saya, beliau tidak sepatutnya mengambil keputusan itu, tetapi inilah bola sepak kerana adakala kita berada di atas dan adakala kita di bawah, Irfan memilih untuk meninggalkan pasukan."Saya harap penyokong setia pasukan dapat memahami impak positif yang di bawa Irfan sepanjang dua tahun beliau bersama TFC dan saya juga fikirkan yang terbaik untuknya pada masa akan datang," kata pemain berasal dari Halifax, England itu.

Mengenai pertembungan dengan The Fighters esok, pemain itu menggesa rakan sepasukan perlu bangkit bagi mengembalikan semula maruah dan keyakinan pasukan yang tercalar sebelum ini.

"Perjuangan perlu diteruskan, kerana sebagai pemain kita tetap perlu pamerkan aksi yang terbaik setiap kali bermain, lagipun ini adalah karier kita.

"Saya harap kekalahan memalukan 3-5 kepada Petaling Jaya City FC (PJ City) tempoh hari sehingga Irfan mengambil keputusan letak jawatan tidak akan berulang kerana kami sedar hilang fokus pada babak kedua dalam perlawanan itu.

Disiarkan pada: May 17, 2019 @ 4:08pm
d