arena

Siapa layak ganti Norza?

Oleh Ferzalfie Fauzi

KUALA LUMPUR: Bekas pemain dan jurulatih perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek mengaku belum terfikir siapakah yang layak menggantikan Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang meluahkan hasrat untuk meletak jawatan selaku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas Olimpik Tokyo tahun depan.

Bagaimanapun, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atalanta 1996 itu berpendapat, individu yang layak memegang jawatan berkenaan mestilah mempunyai jiwa sukan.

“Menguruskan persatuan sukan bukan seperti menguruskan perniagaan. Ia berkaitan dengan prestasi bukannya keuntungan. Seseorang yang ingin memimpin badan sukan perlu mempunyai pengaruh dalam bidang ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Ujarnya, individu yang mempunyai latar belakang sukan adalah paling layak untuk menerajui badan induk berkenaan walaupun ia bukannya badminton.

“Saya beri contoh seperti Allahyarham Tan Sri Elyas Omar yang mempunyai jiwa sukan bukan saja badminton tapi terbabit juga dalam bola sepak. Biarlah mempunyai jiwa untuk naikkan sukan itu sendiri.

“Jangan pegang jawatan kerana ada kepentingan lain dan menjadikan ia sebagai batu loncatan untuk popular. Kalau demi kepentingan perniagaan dan politik seseorang presiden itu nanti akan ikut suka saja membuat keputusan tanpa menjiwai peranan selaku pemimpin sukan,” katanya.

Kelmarin, Norza mengaku merancang untuk meninggalkan BAM kerana sudah menjadi Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Dalam pada itu, Rashid berkata, siapa saja yang menggantikan Norza selepas ini perlu mendengar pandangan bekas pemain serta barisan jurulatih.

“Individu berkenaan juga mudah didekati pemain dan jurulatih,” katanya.

Disiarkan pada: May 18, 2019 @ 7:30am
d