arena

Naomi hadapi tekanan gelaran : Sanchez

Oleh Reuters

PRESTASI tidak konsisten, Naomi Osaka menjelang kejohanan Terbuka Perancis adalah petanda bahawa bintang tenis wanita itu bergelut dengan tekanan berada di ranking nombor satu dunia menurut legenda tenis Sepanyol, Arantxa Sanchez Vicario.

Naomi, 21, mengejutkan arena tenis dunia selepas menewaskan Serena Williams di final Terbuka Amerika Syarikat pada September lalu dan melakar kejayaan kedua Grand Slam di Terbuka Australia untuk menjadi pemain pertama Asia berada pada ranking teratas perseorangan.

Dia juga menjadi pemain wanita pertama memenangi Grand Slam kedua berturut-turut sejak Jennifer Capriati melakukannya pada 2001 namun prestasi tidak menentu kebelakangan ini sedikit sebanyak bakal menjejaskan kedudukan ranking pemain itu menjelang aksi di Roland Garros.

Pemain Jepun berkenaan menarik diri pada Terbuka Itali semalam berikutan mengalami kecederaan tangan, sehingga menimbulkan keraguan mengenai penyertaannya di Paris.

“Ia berlaku kepada semua orang,” kata juara tiga kali Terbuka Perancis Sanchez Vicario kepada pemberita di India, tidak lama selepas Naomi menarik diri dari perlawanan.

“Apabila kamu berada di nombor satu, tekanan adalah berganda dan semua orang mahu menewaskan kamu.

“Ia agak sukar untuk mengatasinya namun akan tiba masanya kamu akan bersedia menghadapinya... ia cerita yang berbeza.”

Disiarkan pada: May 18, 2019 @ 9:13am
d