arena

JDT miliki mentaliti kemenangan

Oleh Firdaus Hashim

MENTALITI kemenangan adalah kunci kejayaan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) yang terus berjaya menjarakkan diri selaku pendahulu Liga Super musim ini.

Pengurus pasukan, Luciano Figueroa berkata, kemenangan 2-1 ke atas PKNS FC di Stadium Shah Alam kelmarin bukan saja menghadiahkan tiga mata, malah ia turut meletakkan mereka di landasan tepat mempertahankan kejuaraan liga buat kali keenam berturut-turut sejak 2014.

“Kami perlu mengucapkan tahniah kepada para pemain. Mereka melakukan tugas yang hebat. Kami sekali lagi beroleh kemenangan di tempat lawan.

“Adalah sangat penting untuk kami mengekalkan mentaliti kemenangan ini. Kami mendapat tiga mata dan kami berada di landasan yang betul,” katanya mengulas mengenai kemenangan ke-11 liga daripada 13 aksi setakat ini.

Dalam aksi itu, dua penyerang skuad Harimau Selatan Safawi Rasid dan Diogo Santo masing-masing meledak satu gol pada minit ke-17 dan 60, manakala gol saguhati PKNS disumbangkan oleh Romel Morales.

“Aksi di bulan puasa adalah lebih sukar kerana mereka perlu berbuka puasa pada jam 7 malam dan kemudian kami perlu bermain pada jam 10 malam.

“Ia sukar tetapi kami harus menghormati tuntutan agama dan kami juga melakukan sesi latihan sama seperti waktu perlawanan.

“Harapan saya terhadap para pemain sepanjang bulan puasa ini adalah kami harus berusaha untuk memberikan yang terbaik. Kami perlu berusaha dan cuba teruskan perjalanan kami,” katanya.

Disiarkan pada: May 18, 2019 @ 7:54pm
d