arena

Nasib berbeza Anis, Fatehah

Oleh Azlan Muhammad Zain

PELUMBA muda negara, Anis Amira Rosidi mencuri perhatian dengan dua emas ketika prestasi ratu trek negara, Fatehah Mustapa terus menjadi persoalan apabila tersingkir awal dalam acara keirin di Kejohanan Trek Klasik Antarabangsa Taiwan 2019 di Kaohsiung, hari ini.

Anis Amira yang mewakili pasukan Sime Darby Foundation cemerlang apabila memenangi acara keirin selain bergandingan bersama Farina Shawati Mohd Adnan untuk muncul juara dalam pecut berpasukan.

Sentuhan ketua jurulatih John Beasley selepas menjalani latihan di Melbourne mula membuahkan hasil apabila Anis Amira lihat bertenaga menguasai perlumbaan final dengan Se Rim Kwon (Korea) dan Lizanne Fox (Australia) terpaksa akur meraih tempat kedua serta ketiga.

"Saya gembira kerana mampu melakar kejayaan terbesar dalam karier di pentas elit. Saya cuba memberikan yang terbaik dan nampaknya ia berhasil dengan dua kejayaan yang besar ini," menurut Anis Amira.

Bagaimanapun prestasi pelumba berpengalaman negara, Fatehah dilihat semakin membimbangkan selepas digugurkan Beasely pada Sukan Asia 2018 serta tidak lagi berlatih di Melbourne.

Pelumba yang pernah beraksi di pentas Olimpik 2012 itu tersingkir seawal pusingan pertama walaupun dilihat mampu muncul tiga pelumba terpantas untuk mara ke final pada kejohanan Kelas 1 dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu.

Pelumba kelahiran Terengganu berusia 30 tahun itu, mengetuai lima pelumba lain ketika perlumbaan berbaki dua pusingan namun gagal mengekalkan rentak apabila lawan memulakan menggandakan kayuhan dengan Rim Kwon, Tzu Chun Wang (Taiwan) dan Zhao Juan Meng (Hong Kong) muncul tiga terpantas untuk mara ke saingan final.

Trio berpasukan lelaki negara yang dibarisi Muhammad Khairul Nizam Rasol, Amar Danial Masri dan Taib Azmudden Mohd Shukri pula meraih perak dengan Kazakhstan muncul juara manakala Korea ketiga.

Bagi kategori junior acara scratch, pelumba Cycology Sabah Racing Team, Waldron Chee turut melakar kejutan apabila meraih emas.

Disiarkan pada: May 18, 2019 @ 8:41pm
d