arena

Tahun luar biasa: Guardiola

Oleh AFP

PEP Guardiola memuji Manchester City yang melakar sejarah selepas merangkul tiga gelaran domestik apabila membelasah Watford 6-0 pada final Piala FA awal pagi tadi.

Skuad kendalian Guardiola melalui kempen menakjubkan ketika Watford menjadi mangsa hatrik Raheem Sterling dan gol David Silva, Kevin De Bruyne serta Gabriel Jesus.

Hanya seminggu selepas meraih mahkota Liga Perdana buat kali kedua berturut-turut, City menyamai rekod pada final Piala FA menjadikan mereka kelab England pertama menang gelaran liga, Piala FA dan Piala Liga pada musim yang sama.

Mereka adalah pasukan liga utama England pertama mencipta 50 kemenangan dalam semua kejohanan dalam satu musim.

Skuad Guardiola turut meledak dengan rekod 169 gol dalam 61 perlawanan semusim, memecahkan rekod mereka sendiri sebelum ini dengan 156.

City berada di kedudukan teratas pasukan terbaik England sepanjang zaman dan Guardiola mengakui adalah sesuatu yang menakjubkan melihat catatan sebaik itu.

“Ia final yang luar biasa buat kami dan kami menamatkan musim yang hebat. Kepada semua orang di kelab, ucapan setinggi tahniah, terutama pemain kerana sebab merekalah kami menang gelaran ini,” katanya kepada BBC.

Disiarkan pada: May 19, 2019 @ 7:55am
d