arena

MFL 'pujuk' menteri

Oleh Firdaus Hashim

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) dilihat seumpama ‘menangguk di air keruh’ apabila cuba mengambil kesempatan di atas isu pemain lari cukai yang didedahkan Arena Metro sejak minggu lalu.

Menerusi video pendek berdurasi 2 minit 45 saat itu menyaksikan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam memohon Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk turut mempertimbangkan pengecualian cukai ke atas penaja dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Sebelum ini, pada Jumaat lalu, Syed Saddiq mengingatkan semua atlet terutama pemain bola sepak profesional tempatan supaya menjalankan tanggungjawab dengan membayar cukai pendapatan jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

Begitupun, MFL ketika ini terdesak untuk mencari penaja bagi menyalurkan dana kepada semua 24 pasukan Liga M selepas Telekom Malaysia (TM) menarik diri menjadi penaja yang menyaksikan pentadbir liga itu kehilangan RM480 juta bagi tempoh lapan tahun bermula Januari tahun lalu.

Lantas, MFL menggunakan saranan Menteri Sukan berkenaan untuk turut menyumbang kepada liga tempatan.

“Terima kasih kepada YB (Syed Saddiq) yang prihatin pasal industri bola sepak tempatan di mana platform bola sepak ini ada kelebihan tersendiri.

“Sebab itu ramai orang suka bercerita tentang bola sepak, sebut saja perkataan bola sepak atau Piala Dunia terus kita akan dapat perhatian. Tapi apa yang kita harap, jika kita nak bercerita pasal bola sepak biarlah sambil itu kita menyumbang kepada industri ini.

“Kalau tak apa yang kita cerita ini hanya cerita saja. Tapi yang kita cakap ini bukan pasal duit dari segi sumbangan, MFL ini pun tak dapat apa-apa sumbangan daripada kerajaan, ‘zero’,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook rasmi MFL, semalam.

Jelas Kevin lagi, perkembangan positif liga tempatan menyaksikan banyak syarikat swasta berminat untuk melabur.

“Tapi banyak cara untuk kerajaan menyumbang kepada industri ini. Contohnya kita dah cuba terlalu lama untuk dapatkan pemotongan cukai bagi penaja dalam bola sepak untuk menarik lagi pelabur dan pihak lain yang berminat buat perniagaan.

“Misalnya apa kata kita bagi insentif kepada pasukan-pasukan ini dari segi banyak syarikat di luar sana. Kalau kita tengok dari industri IT dan sebagainya, kita boleh berikan bermacam-macam ganjaran untuk membolehkan mereka membangun dan membesar,” katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2019 @ 8:01am
d