arena

Roma sukar ke Liga Juara-Juara

Oleh AFP

PELUANG Roma untuk beraksi di Liga Juara-Juara musim depan tampak pudar selepas seri tanpa jaringan berdepan Sassuolo awal pagi tadi.

Masih ada dua tempat Liga Juara-Juara untuk diambil di Itali iaitu di belakang juara, Juventus dan pasukan tangga kedua, Napoli.

Skuad kendalian Claudio Ranieri, yang layak ke separuh akhir kejohanan elit Eropah itu musim lalu, kini berada di kedudukan kelima, tiga mata di belakang Inter Milan dan dua di belakang Atalanta yang menghuni tangga keempat.

Kedua-dua pasukan akan melalui perlawanan sukar hujung minggu ini dengan Milan berkunjung ke Napoli dan Atalanta berdepan juara, Juventus dalam perlawanan terakhir di laman sendiri buat jurulatih, Massimiliano Allegri.

AC Milan berada di belakang skuad Ranieri dan boleh mengatasi skuad dari Rome itu dengan kemenangan di laman sendiri berdepan pasukan sudah tersingkir, Frosinone.

Torino berkedudukan ketujuh, tiga mata di belakang Roma dan boleh menyamakan kedudukan dengan kemenangan berdepan pasukan tersingkir, Empoli.

Roma mempunyai peluang terbaik menjaringkan gol di Sassuolo dengan kedua-dua penyerang mereka Edin Dzeko dan Justin Kluivert dinafikan palang gol.

Sementara itu, jaringan penalti lewat permainan oleh Domenico Criscito membolehkan Genoa seri 1-1 berdepan Cagliari untuk melonjak dua mata mengatasi zon penyingkiran dengan baki satu perlawanan.

Penyerang Watford yang dipinjamkan kepada Udinese, Stefano Okaka menjaring dua gol pantas dalam kemenangan 3-2 pasukan itu mengatasi SPAL.

Disiarkan pada: May 19, 2019 @ 9:30am
d