arena

Lalu semakin 'menggerunkan' [VIDEO]

Oleh Azlan Muhammad Zain

RAJA Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan dilihat berdepan tugas sukar mempertahankan emas yang diraihnya pada Sukan SEA 2017 dengan prestasi jaguh Indonesia, Lalu Muhammad Zohri semakin ‘menggerunkan’.

Atlet berusia 18 tahun itu meraih gangsa apabila mencatatkan 10.03s dalam saingan Seiko Golden Grand Prix 2019 di Osaka, Jepun hari ini, memberikan saingan sengit kepada jaguh Amerika Syarikat (AS), Justin Gatlin (10.00s) manakala atlet tuan rumah, Yoshinide Kiryu mencatatkan 10.01s untuk perak.

Catatan masa berkenaan memberi bayangan gelaran Raja Pecut Asia Tenggara di Sukan SEA Filipina penghujung tahun bakal menjadi miliknya selepas Khairul Hafiz menang emas pada edisi 2017.

"Mengikut catatan semasa sudah tentu peluang untuk meraih emas sukar namun dalam 100m, apa saja boleh berlaku," jelas bekas atlet negara, Nazmizam Muhammad.

Menurutnya, dengan latihan berterusan dilakukan Khairul Hafiz dan mencatatkan masa yang konsisten tidak mustahil perebutan acara riben biru akan terbuka.

"Khairul Hafiz pernah mencatatkan 10.18s, disusuli konsisten 10.20s namun seterusnya berdepan kecederaan.

Jika selepas pulih dan kembali beraksi, dia mampu mencatatkan bawah 10.20s, saya yakin dia juga mempunyai sasaran berlari bawah 10s seperti yang diimpikan semua pelari.

"Kerjasama Kesatuan Olahraga Malaysia, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara perlu bagi membantu Khairul Hafiz bagi mengatasi Lalu di Sukan SEA dengan gabungan kepakaran sains sukan, psikologi, petandingan selain latihan yang diatur jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim ," tambahnya.

Menurut laporan CNNIndonesia.com, catatan 10.03s turut melayakkan Lalu menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo.

Juara remaja dunia berkenaan mencatatkan 10.20s untuk menang Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia pada Mac disusuli 10.13s di Kejohanan Trek dan Balapan Asia, Doha pada bulan lalu.

Khairul Hafiz yang mencatatkan 10.38s ketika menang di Sukan SEA 2017 kini disahkan cergas sepenuhnya daripada kecederaan dan dijangka kembali beraksi pada Julai di Sukan Universiti Dunia di Napoli, Itali.

Sebagai rekod, Khairul Hafiz adalah pemegang rekod kebangsaan acara 100m lelaki dengan kepantasan 10.18s yang dicipta di SUKMA Sarawak pada 2016 manakala Lalu melakar catatan sama ketika menjuarai Kejohanan Remaja Dunia di Finland tahun lalu.

Disiarkan pada: May 19, 2019 @ 4:13pm
d