arena

Real Madrid aib aksi terakhir

Oleh Reuters

REAL Madrid menamatkan kempen musim ini dengan kekalahan ke-12 La Liga selepas tewas 0-2 kepada Real Betis di tempat sendiri sebentar tadi.

Keputusan itu jelas mengecewakan penyokong mereka dengan ramai meninggalkan stadium lebih awal malah melepaskan geram dengan mengejek pemain Real.

Dengan Gareth Bale, Toni Kroos dan Thibaut Courtois memanaskan bangku simpanan, penyerang Betis, Loren Moron meletakkan pelawat di depan pada minit ke-61 apabila menyudahkan serangan balas pantas dengan merembat dari jarak dekat.

Bekas penyerang Real, Jese Rodriguez mengesahkan kemenangan Betis yang menduduki tangga ke-10 tetapi meraih kemenangan di Nou Camp dan Santiago Bernabeu dengan menolak bola masuk dari jarak dekat pada minit ke-75.

Madrid mengakhiri kempen dengan 68 mata dan mencipta rekod jumlah kekalahan terbanyak sejak dua dekad lalu. Mereka ketinggalan lapan mata di belakang Atletico Madrid yang menduduki tangga kedua dan 18 mata di belakang juara, Barcelona yang menentang Eibar di tempat lawan malam ini.

Disiarkan pada: May 19, 2019 @ 9:47pm
d