arena

Koepka pertahan Kejuaraan PGA

Oleh AFP

BROOKS Koepka menangani cabaran lewat Dustin Johnson untuk merangkul Kejuaraan PGA kedua berturut-turut awal pagi tadi, melengkapkan kemenangan selepas mendahului sejak hari pertama bagi kejuaraan utama keempatnya.

Rekod pendahuluan tujuh pukulan buat Koepka dikurangkan kepada satu pukulan, namun dia bertahan sekalipun melakukan empat bogey berturut-turut pada sembilan lubang kedua dan satu lagi di lubang ke-17 bagi kemenangan tipis yang tidak disangka-sangka.

Koepka mencatat empat atas par 74 pada pusingan akhir di Bethpage Black yang berangin untuk menamatkan 72 lubang dengan lapan bawah par 272 dan mengalahkan Johnson dengan dua pukulan, sekali gus menggantikannya sebagai pemain nombor satu dunia.

“Saya berasa lega kami tidak bermain beberapa lubang lagi,” kata Koepka. “Ia satu pusingan golf yang terlalu menekan. Saya bangga trofi ini berada dalam genggaman sekali lagi.”

Bogey Johnson pada lubang ke-16 dan 17 menjadi pemisah namun Koepka bogey lubang ke-17 par-tiga, kemudian mengelak buting pasir dari kotak tee ke-18 dengan menemui fairway dan green kemudian menolak masuk putt dari jarak enam kaki bagi memastikan kemenangan.

“Dia bertindak baik mencetus tekanan buat saya, memaksa saya bermain beberapa golf yang mantap di luar sana,” kata Koepka. “Dia memang hebat.”

Koepka, yang memburu kejuaraan Terbuka AS ketiga berturut-turut di Pebble Beach bulan depan, muncul pemain lelaki pertama menang kejuaraan utama berturut-turut dengan menjulang Trofi Wanamaker dan hadiah wang tunai AS$1.98 juta (RM8.3 juta).

“Ini amat menakjubkan,” kata Koepka. “Saya tidak tahu sama ada saya pernah mengimpikan saat ini. Ia mengagumkan.”

Koepka menganggap ia kejayaan paling memuaskan berbanding tiga kejuaraan utama dimenanginya sebelum ini sambil menambah, “Saya mampu fokus semula. Itulah kunci utama kejayaan hari ini.”

Pemain Amerika Syarikat berusia 29 tahun itu muncul pemenang kelima PGA menang selepas mendahului sejak hari pertama selepas Hal Sutton pada 1983, Ray Floyd pada 1982, Jack Nicklaus pada 1971 dan Bobby Nichols pada 1964.

Koepka menyertai Tiger Woods sebagai juara berturut-turut PGA, Woods melakukannya pada 2006-07 dan 1999-2000.

Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 8:09am
d