arena

Petanda positif UiTM FC

Oleh Malik Muhamad

MASIH terlalu awal. Itu reaksi ketua jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria ketika diminta mengulas keupayaan pasukannya memimpin carta Liga Perdana setakat ini.

Jurulatih berpengalaman itu menyatakan kejayaan pasukannya menduduki tangga teratas liga buat kali pertama musim ini sesuatu yang positif dalam misi mengintai peluang ke saingan Liga Super musim depan.

Penyerangnya, Zarko Korac dari Montenegro yang sudah meledak sepuluh gol dan rakan sepasukan dari Senegal, Robert Mendy dengan tujuh gol adalah senjata utama skuad itu.

“Peningkatan pasukan sehingga berjaya menghuni tangga teratas liga mampu menyuntik semangat pemain untuk mengekalkan kedudukan ini hingga tamat saingan liga.

“Bagaimanapun, apa yang boleh saya rumuskan masih terlalu awal untuk diperkatakan jika ingin memperkatakan saingan Liga Super musim depan kerana masih berbaki tujuh perlawanan harus dilalui.

“Selain itu, prestasi semasa agak menurun sikit kerana mereka harus melalui latihan malam manakala pada sebelah siang menghadiri kelas agak menggusarkan kami barisan jurulatih.”

Berdasarkan kedudukan terkini liga, UiTM mengutip 26 mata untuk mendahului dengan mencatat lapan kemenangan.

Bagaimanapun, kedudukan itu masih belum selamat kerana tiga lagi pasukan mengekori rapat dengan JDTII mengutip 25 mata, Sabah 24 mata dan Terengganu FC II (TFC II) 22 mata.

Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 5:55pm
d