arena

Jangan tertekan dengan harapan

Oleh Saiful Affendy Sapran

MESKIPUN bercita-cita besar untuk muncul dua pasukan terbaik pada Pusingan Akhir Siri FIH di Banbridge, Ireland bermula 8 Jun depan sekali gus layak ke aksi play off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah tidak mahu anak buahnya berasa terlalu tertekan.

Sebaliknya Dhaarma hanya mahu setiap pemainnya melakukan persiapan dengan rapi, beraksi dengan fikiran lapang pada setiap perlawanan selain beliau sendiri meletakkan kepercayaan penuh ke atas setiap barisan pemainnya.

Skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama Ireland selaku tuan rumah yang menduduki ranking ke-8, Republik Czech (19) dan Singapura (35).

"Realitinya kami adalah pasukan yang menduduki ranking kelima terbaik daripada lapan pasukan yang beraksi di Banbridge.

"Saya tak mahu memberi terlalu banyak tekanan kepada setiap pemain. Pada masa sama dalam hati saya percaya mereka semua mampu mempamerkan persembahan yang bagus," katanya.

Jelas Dhaarma, dengan segala situasi yang tidak memihak kepada skuad negara, setiap pemain seharusnya menyahut cabaran di Banbridge dengan membuktikan prestasi cemerlang di atas padang.

"Tidak mustahil kita mampu melakukan kejutan ke atas pasukan seperti Ireland," katanya.

Skuad negara akan bertolak ke Itali Jumaat ini untuk beberapa aksi persahabatan bersama skuad kebangsaan Itali, Sepanyol serta pasukan kelab.

Disiarkan pada: May 21, 2019 @ 8:32pm
d