arena

FA, kelab berpisah haluan

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu memastikan semua pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) mempunyai sebuah organisasi kelab yang berlesen untuk menjalankan aktiviti secara berasingan daripada Persatuan Bolasepak Negeri (FA) menjelang musim 2021.

Bagi memastikan ia tercapai, FAM mengambil inisiatif mewujudkan jawatankuasa baharu di bawah Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional diketuai exco badan induk itu, Mohd Firdaus Mohamed bermula minggu lalu.

Firdaus berkata, fungsi jawatankuasa berkenaan adalah untuk memberi penerangan dan kefahaman kepada semua FA supaya dapat bergerak seiring dengan membantu FAM mencapai sasaran itu.

“FAM sudah mewujudkan pasukan Task Force untuk memastikan semua pasukan dalam liga dapat bergerak sendiri dan tidak lagi di bawah pengurusan FA.

“Ia penting bagi membolehkan semua pasukan bertanding mempunyai pemilik kekal yang boleh merancang dan bergerak secara berasingan seperti mana kelab-kelab di Eropah dan Asia.

“Misalnya di Manchester sendiri, Persatuan Bolasepak Manchester tidak terbabit dalam urusan kelab kerana ia dimiliki oleh orang perseorangan. Jadi, di Manchester ada dua wakil kelab iaitu Manchester City dan United.

“Justeru, kita mahu model sama digunakan dalam Liga M di mana kemungkinan wakil FA adalah kelab di bawah naungan mereka. FA pula akan menumpukan kepada aspek pembangunan akar umbi, pertandingan peringkat negeri, menganjurkan seminar dan lain-lain,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Setakat ini, hanya satu kelab yang bergerak berasingan tanpa ada bantuan daripada FA iaiu kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dimiliki sepenuhnya oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Meskipun ada beberapa pasukan menukar status kepada kelab seperti Terengganu FC dan Melaka United, namun dana pasukan masih lagi dibiayai sepenuhnya oleh FA Negeri.

Malah, PKNS FC dan PKNP FC juga tidak bergerak secara bebas kerana ia masih terikat sebagai anak syarikat kerajaan negeri masing-masing.

“Kewujudan kelab bermakna, pengurusan sedia ada mampu untuk mengurus tadbir, mempunyai sumber kewangan yang diperlukan, dan juga berintegriti serta memastikan pemilik lesen memiliki ciri-ciri sesebuah kelab bola sepak profesional seperti kemudahan, fasiliti dan pembangunan.

“Dengan kata lain, lesen kelab diibaratkan sebagai kebenaran untuk kelab melakukan operasi yang menjadi ‘benchmarking’ sebuah kelab bola sepak yang profesional,” kata Firdaus yang juga Presiden kelab Selangor United.

Katanya, beliau akan bergerak ke setiap negeri bersama pemegang taruh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menerangkan lebih lanjut mengenai perancangan FAM itu.

“Saya akan pergi ke negeri-negeri untuk mereka fahami kepentingan kelab. Mungkin ia sukar, tetapi saya percaya ia akan dapat dilakukan jika semua pihak mengambilnya secara positif demi kebaikan bersama,” katanya.

Disiarkan pada: May 22, 2019 @ 8:00am
d