arena

Mkhitaryan lupakan final Liga Europa

Oleh AFP

PENGURUS Arsenal, Unai Emery menganggap keputusan pemain tengah Armenia, Henrikh Mkhitaryan terlepas aksi final Liga Europa menentang Chelsea di Baku sebagai “peribadi” susulan kebimbangan mengenai keselamatannya.

Keselamatan Mkhitaryan bagi aksi final pada 29 Mei ini menjadi kebimbangan Arsenal kerana ketegangan politik antara Armenia dan hos final Azerbaijan.

“Ia berita buruk, tapi kami tidak boleh berbuat apa-apa mengenai isu ini,” kata Emery.

“Saya bercakap dengan Mkhitaryan pagi ini. Ia keputusan yang amat peribadi. Dia mahu bermain dan membantu kami, namun mereka berbincang, dia dan keluarganya dan memutuskan tidak pergi... saya tidak boleh memaksanya pergi bersama kami.”

Arsenal menyatakan semua pilihan sudah digunakan untuk menjamin keselamatan pemain tengah itu.

“Kami sudah menggunakan setiap saluran bagi Micki untuk berada dalam skuad tapi selepas berbincang perkara ini dengan Micki dan keluarganya, secara kolektif kami bersetuju dia tidak pergi,” menurut Arsenal dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Persatuan Bolasepak Azerbaijan (AFFA) mempertahankan langkah keselamatan yang diambil dan menganggap keputusan itu “tidak wajar.”

Kapten Armenia, Mkhitaryan tidak bermain buat Gunners dalam Liga Europa menentang Qarabag Oktober lalu kerana ketegangan disebabkan perbalahan mengenai wilayah Nagorny Karabakh.

Disiarkan pada: May 22, 2019 @ 8:26am
d