arena

Tugas belum selesai, fokus suku akhir

Oleh Saiful Affendy Sapran

SKUAD badminton negara mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Sudirman di Nanning, China selepas menamatkan saingan peringkat Kumpulan 1D di kedudukan kedua.

Kejayaan Malaysia itu dibantu kemenangan China ke atas India 5-0 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan hari ini sekali gus menyaksikan tuan rumah muncul juara kumpulan dan turut mara ke suku akhir.

Malaysia yang tewas kepada China 0-5 pada perlawanan pertama, mencatat kemenangan 3-2 ke atas India kelmarin untuk menghidupkan peluang ke suku akhir.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann ketika dihubungi berkata, kejayaan mara ke suku akhir hanyalah baru kejayaan pertama.

"Ia baru kejayaan kecil hasil kerja keras setiap pemain tetapi tugas mereka masih belum selesai lagi. Setiap pemain kini kekal tenang dan cukup bermotivasi tinggi untuk beraksi di suku akhir," katanya.

Choong Han berharap setiap pemain negara dapat membuktikan sekali lagi kemampuan mereka apabila beraksi di saingan suku akhir esok.

"Harap apa yang mereka lalukan ketika sesi latihan diterjemahkan pada perlawanan sebenar dan cuba melakar kejutan ke atas lawan," katanya.

Disiarkan pada: May 22, 2019 @ 5:23pm
d