arena

Garcia letak jawatan di Marseille

Oleh AFP

RUDI Garcia akan melepaskan jawatan sebagai jurulatih Marseille selepas pusingan akhir perlawanan Ligue 1 hujung minggu ini apabila kelab gergasi Perancis itu gagal layak ke Eropah musim depan.

“Saya memutuskan untuk pergi. Saya mengutarakan penyelesaian ini kepada presiden saya yang menerimanya,” kata Garcia pada sidang akhbar awal pagi tadi.

“Jika saya mendengar karakter dan keazaman saya akan kekal, tapi saya mengambil kira perkara wajar dan ia langkah terbaik untuk mengumumkannya sekarang.”

Garcia yang berusia 55 tahun dilantik sebagai jurulatih pada Oktober 2016 dengan mandat untuk mengemudi Marseille kembali ke Liga Juara-Juara, sejurus kelab itu diambil alih jutawan Amerika Syarikat, Frank McCourt.

Beliau menyambung kontraknya Oktober lalu hingga 2021, namun Garcia meninggalkan Velodrome dengan baki dua tahun dalam kontraknya selepas sekali lagi gagal berakhir dalam kelompok tiga teratas.

Garcia berkata, beliau “bertanggungjawab sepenuhnya kerana gagal mengemudi Marseille kembali ke Liga Juara-Juara.”

Marseille di tangga keenam, 11 mata di belakang tempat ke Liga Juara-Juara, menjelang perlawanan terakhir awal pagi Sabtu ini menentang pasukan tangga kelima Montpellier.

Disiarkan pada: May 23, 2019 @ 12:02pm
d