arena

TMJ bersuara

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akhirnya bersuara bagi memaklumkan sebab sebenar yang mendorong beliau meninggalkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tahun lalu, hanya selepas bergelar presiden selama 365 hari.

Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas ramai pihak termasuk penaja serta rakan kongsi liga menggesanya untuk memimpin MFL dalam usaha meningkatkan mutu bola sepak negara.

Katanya lagi, beliau meninggalkan pucuk pimpinan FAM dalam posisi terbaik sebelum menyerahkan jawatan Presiden kepada Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Ramai juga yang mengatakan saya meninggalkan FAM (tanpa berbuat apa-apa). Semasa saya menjadi Presiden FAM, matlamat dan agenda saya hanya satu iaitu mencipta dan menstruktur semula sistem supaya peranan serta tanggungjawab FAM adalah untuk menjaga pasukan kebangsaan, jawatankuasa tatatertib, jawatankuasa status disiplin dan sebagainya untuk lebih kepada formal di mana bukan fokus khusus kepada liga.

“Jika kita lihat bola sepak dalam negara yang berjaya, persatuan mereka ada peranan tersendiri tetapi yang menguruskan liga adalah badan bebas. Jadi selepas membuat perancangan untuk mewujudkan MFL, ramai yang inginkan saya berada di MFL dan saya tidak boleh memegang dua jawatan kerana saya hanya boleh beri komited kepada salah satu jawatan itu.

“Apabila kebanyakan bajet, penajaan dan kerjasama menerusi MFL, saya menganggap lebih baik saya berada di MFL dan serahkan (Presiden) FAM kepada Hamidin yang cukup komited untuk membangunkan bola sepak negara,” katanya pada sidang media di Johor Bharu, kelmarin.

Dalam perkembangan sama, Tunku Ismail mendedahkan, beliau membelanjakan wang sendiri sebanyak RM12 juta dalam tahun pertama sebagai Presiden FAM, selain RM1.4 juta bagi isu saman membabitkan MP Silva terhadap badan induk itu.

“Kalau nak bercakap mengenai sumbangan saya kepada bola sepak semasa saya menjadi Presiden FAM, saya sudah selesaikan semua hutang FAM dan saya tidak tinggalkan FAM tanpa berbuat apa-apa.

“Saya tinggalkan FAM kerana ada peranan dan misi lebih besar untuk organisasi besar iaitu MFL. Jadi apa yang dibuat untuk FAM adalah kalau kita tengok daripada segi struktur saya membawa (Pengarah Teknikal FAM) Peter De Roo, struktur jurulatih dan pasukan kebangsaan termasuk hutang-hutang FAM.

“Saya berbelanja RM12 juta iaitu duit saya sendiri pada tahun pertama di FAM di mana ketika itu FAM tiada duit dan dalam masa yang sama kes FAM dengan MP Silva, saya juga selesaikan satu kes di mana FAM akan disaman €1.4 juta (RM6.5 juta) dan akhirnya dapat dikurangkan kepada €300,000 (RM1.4 juta) di mana saya juga menggunakan duit saya sendiri dulu untuk selesaikan kerana FAM tiada bajet.

“Saya tinggalkan FAM dalam keadaan baik dan serahkan kepada Hamidin sebelum saya mengambil alih MFL kerana itu adalah permintaan daripada semua pihak penaja dan rakan liga untuk melihat saya berada di situ di mana penaja lebih yakin,” katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2019 @ 8:30am
d