arena

Werner mahu pukau Bayern

Oleh AFP

PENYERANG RB Leipzig, Timo Werner mungkin memikirkan masa depannya apabila pasukannya menentang Bayern Munich pada final Piala Jerman di Berlin, malam esok.

Werner, 23, bertindak cemerlang buat Leipzig musim ini dan dia dikatakan menjadi pencabar utama bintang serangan Robert Lewandowski di Bayern.

Ketika Bayern dijangka merombak skuadnya menjelang musim depan, Werner seorang daripada beberapa pemain yang dikatakan berada dalam radar juara Bundesliga itu.

Spekulasi menyaksikan ketegangan antara dua kelab itu musim ini.

Bintang berusia 23 tahun itu semakin meningkat sejak dia menyertai Leipzig dari kelab kampung halamannya Stuttgart pada 2016.

Dia menjaringkan 61 gol dalam 113 perlawanan buat kelab Saxon itu, mengukuhkan dirinya sebagai bintang serangan Leipzig yang bertenaga dan sering mengasak lawan.

Kini pemain kebangsaan Jerman, dia lebih menyerlah musim ini, menyumbat 19 gol dan 10 bantuan gol dalam semua pertandingan.

Namun dengan kontrak semasa berakhir pada 2020, Werner kurang berminat untuk memperbaharui kontraknya sekali gus mencetus spekulasi berpindah ke Munich.

“Hanya ada satu kelab di Jerman akan saya sertai,” katanya baru-baru ini.

Disiarkan pada: May 24, 2019 @ 11:20am
d