arena

Jackie mahu baling lebih 66 meter

Oleh Aida Adilah Mat

PEMEGANG rekod kebangsaan dalam acara baling tukul besi, Jackie Wong tidak meletakkan sebarang sasaran apabila turun beraksi di Kejohanan Terbuka Taiwan, esok.

Selepas cemerlang meleburkan rekod lama miliknya sendiri di Kejohanan Asia di Doha bulan lalu, penyertaan Jackie di Taiwan adalah sekadar mahu mencari konsistensi agar persediaan untuk ke Sukan SEA berada di landasan yang tepat.

Atlet kelahiran Sarawak itu berkata, dia mahu memastikan jarak baling melebihi 66 meter agar dia boleh melakukan sekali lagi rekod pencapaian terbaik peribadi selepas ini.

"Berdasarkan percaturan jurulatih (Gu Yuan) prestasi saya akan menurun sedikit selepas Doha kerana di Doha saya sudah melakukan rekod baru.

"Jadi di Taiwan kali ini saya sasar untuk melepasi jarak 66m ke atas selain cuba perbaiki kelemahan dari segi teknik kelajuan," katanya.

Ketika di Doha, atlet berusia 27 tahun melakukan balingan 67.01m dalam acara akhir di Stadium Antarabangsa Khalifah untuk memadamkan rekod lama miliknya 66.01m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia tahun lalu.

Untuk rekod, ini adalah rekod kebangsaan kali ke-13 dicipta Jackie sejak dia mengambil bahagian dalam saingan kompetitif pada 2013.

Dia sebelum itu menamatkan kemarau 16 tahun emas acara baling tukul besi pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur sekali gus memperbaharui rekod temasya berkenaan.

Mengulas mengenai peluangnya mempertahankan emas di temasya dwi tahunan itu, Jackie berkata, peluang sememangnya ada dan dia akan sentiasa berusaha memastikan emas tidak akan terlepas di tangan atlet lain.

"Sukan SEA memang menjadi keutamaan saya tahun ini.

Tapi saya pun tak pasti apa yang akan berlaku pada masa akan datang, apa yang boleh saya buat adalah berusaha ke arah sasaran mengekalkan emas," katanya dijangka akan turun menyertai Terbuka Korea bulan depan.

Disiarkan pada: May 24, 2019 @ 8:59pm
d