arena

Kanu sasar sukan teras masa depan

Oleh Saiful Affendy Sapran

BAGI meningkatkan taraf sukan kanu, Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) berharap acara sukan itu akan menjadi salah satu sukan teras pada masa depan.

Presiden MASCA, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin berkata, beliau optimis ia akan menjadi kenyataan sekiranya barisan atletnya mempamer prestasi cemerlang dalam setiap kejohanan yang disertai.

"Menerusi pencapaian cemerlang itu, ia diharap dapat membuka mata pelbagai pihak termasuk MSN (Majlis Sukan Negara) yang mungkin boleh mempertimbangkan untuk mengiktiraf sukan kanu sebagai sukan teras.

"Kami juga sedang berusaha untuk menjadikan MASCA sebagai salah satu persatuan sukan yang bernaung di bawah MOM (Majlis Olimpik Malaysia).

"Selama ini sukan kanu dilihat lebih gemar bergerak sendiri dan berada di dalam kumpulan mereka saja.

"Tetapi di bawah kepimpinan baru, saya mahu atet kanu lebih menyerlah," katanya pada majlis berbuka puasa bersama media semalam.

Dalam usaha untuk menjadi acara sukan cemerlang, MASCA sudah meraih beberapa keputusan positif antaranya termasuk meraih satu perak dan gangsa pada Kejohanan Kanu Sprint Antarabangsa Bhopal di India, baru-baru ini.

Kemuncak kepada semua itu adalah penyertaan pada temasya Sukan SEA di Manila hujung tahun ini.

"Walaupun hampir kebanyakannya menggunakan poket sendiri ketika ini, saya harap setiap atlet dapat membuktikan sesuatu dan membuka mata banyak pihak selepas ini," katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2019 @ 9:19pm
d