arena

Bisa kaki Messi

Oleh Reuters

LIONEL Messi muncul sebagi pemain pertama menjulang anugerah Kasut Emas Eropah untuk tiga tahun berturut-turut apabila pencabar terdekatnya Kylian Mbappe gagal meledak empat gol diperlukan untuk aksi terakhir Paris St Germain musim ini awal pagi tadi.

Messi meraih penghormatan itu, selaku penjaring terbanyak perlawanan liga divisyen utama Eropah, untuk kali keenam selepas meledak 36 gol buat Barcelona manakala Mbappe menamatkan kempen dengan 33 gol selepas menjaringkan gol tunggal PSG ketika tewas 1-3 di Stade de Reims.

Ketika koleksi jaringan Messi membantu pasukannya menjulang La Liga bulan lalu, pemain Argentina berusia 31 tahun itu berkata pagi tadi dia tidak terfikir mengenai Kasut Emas itu dengan pasukan masih belum dapat menerima hakikat tewas kepada Liverpool pada perlawanan separuh akhir.

“Saya tidak terfikir mengenai hadiah itu, kami masih menangani apa yang berlaku ketika tewas kepada Liverpool dan tidak terfikir mengenai pencapaian peribadi,” kata Messi pada sidang media menjelang final Piala Raja Sepantol menentang Valencia.

Disiarkan pada: May 25, 2019 @ 9:24am
d