arena

Eagle lonjak Blixt

Oleh Reuters

JONAS Blixt melonjak mendahului saingan menerusi eagle pada lubang ke-17 dan mendahului satu pukulan berbanding Kevin Na dan Tony Finau selepas pusingan kedua Cabaran Charles Schwab di Fort Worth, Texas awal pagi tadi.

Blixt membuat pukulan sejauh 132 ela pada lubang ke-17 untuk mencatat enam di bawah par 64 tanpa sebarang bogey sebelum cuaca berangin melanda Colonial Country Club.

Par pada lubang terakhir membolehkan pemain Sweden itu mengumpul sembilan di bawah par 131 dan mendahului saingan 36 lubang buat pertama kali dalam 185 aksi di Jelajah PGA.

“Saya fikir saya bermain dengan baik tahun ini,” kata Blixt.

“Jelas sekali penyudahnya belum cukup bagus.”

Sudah empat kali musim ini dia melangkah ke hujung minggu dalam kelompok 10 teratas namun gagal memanfaatkannya.

“Ujiannya hadir hujung minggu ini sama ada ia akan memihak saya atau tidak,” katanya.

Na (62) dan pendahulu pusingan pertama Finau (68) berkongsi tangga kedua dengan lapan di bawah par 132.

Na yang beraksi pada sebelah pagi seperti Blixt, bermula dengan eagle pada lubang pertama dan menambah enam birdie.

“Ya, saya sukakan lapangan golf ini,” kata Na, selepas mencatat 62 pukulan buat kali ketiga di Colonial.

“Ia menepati permainan saya. Anda perlu memanfaatkan minggu seperti ini kerana tidak banyak lapangan seperti ini dalam jelajah lagi.”

Disiarkan pada: May 25, 2019 @ 10:05am
d